PERPUSTAKAAN TUN SERI LANANG, UKM

Saturday 15 September 2012

Toolkit Ahli Politik Junior

Buku ini memperkenalkan politik Islam sebagai toolkit panduan kepada para pembaca amatur yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Kefahaman ini amat penting kepada semua lapisan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya bakal pemimpin dan ahli politik junior yang menjejak langkah ke dalam kancah kepimpinan masyarakat. Tidak kira apa sahaja organisasi, pertubuhan dan parti politik yang disertai, kita mesti menjadikan Nabi Muhammad dan Khulafa al-Rasyidin sebagai ikon politik kita. Melalui kesedaran politik yang tinggi, kita semua akan sedar kepimpinan merupakan amanah yang akan dipersoalkan Allah pada hari akhirat kelak. Politik Islam juga mendidik ahlinya tidak menjadikan jawatan sebagai peluang untuk mengumpul kekayaan dan pangkat sehingga mengabaikan kepentingan rakyat jelata.

Melalui pembacaan beberapa isu politik kontemporari yang termuat dalam buku ini juga, pembaca akan memahami Islam menyediakan ruang yang anjal kepada umat Islam untuk mencari teknik dan pendekatan terbaik bagi melaksanakan sistem politik Islam. Penyokong gerakan Islam pula akan menyedari kaedah pemerintahan Islam klasik bukan bermaksud bagi menggambarkan sistem politik yang kaku, sebaliknya menunjukkan sampel teknikal bagaimana para khalifah mengurus hal ehwal negara selaras dengan semangat perundangan Islam. Ia memberikan isyarat, Islam tidak mementingkan soal formalistik dan teknikal dalam menjalankan pemerintahan Islam. Islam hanya menekan aspek substantif yang menjadi asas kelangsungan politik bagi menjaga kepentingan rakyat jelata.

Dengan kefahaman ini juga, umat Islam di Malaysia berupaya membangunkan sistem politik dan pemerintahan Islam yang menepati aspirasi masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Politik Islam wujud untuk mempertahankan keadilan, kebebasan dan persamaan yang menjadi isu universal merentasi agama dan budaya. Kita mengharapkan nilai-nilai murni dalam sistem politik Islam akan diterapkan oleh para pemimpin kerajaan di Malaysia pada satu hari ini. Insya-Allah

No comments:

Post a Comment